Berendul
Berendul
Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Sabtu, 26 Januari 2008 21:20
Berendul ialah satu daripada kesenian lama yang masih diamalkan dan digemari ramai di Negeri Kedah. Perkataan berendul adalah loghat Kedah yang bermakna mendodoi anak. Berendul ini dilagu atau didendangkan oleh kaum lelaki secara berkumpulan. Tiap-tiap satu kumpulan berendul mengandungi ahli seramai tiga hingga lima orang.
Kesenian berendul ini tidak dapat dipastikan bila wujudnya tetapi ada pendapat menyatakan bahawa ia telah lama wujud di kalangan masyarakat Melayu di Negeri Kedah.
Acara berendul diadakan untuk tujuan-tujuan yang tertentu seperti membayar niat, menyambut kelahiran anak sulung atau menyambut setiap kelahiran anak (bagi mereka yang bertujuan untuk memeriahkan lagi upacara pada hari mencukur rambut). Ahli-ahli berendul biasanya menghafal lagu-lagu yang didendangkan. Lagu-lagu tersebut adalah lagu-lagu yang dipelajari dan ahli-ahli yang sebelumnya ataupun lagu-lagu yang diciptakan sendiri.
Kemerduan lagu-lagu yang didendangkan menarik hati setiap orang yang mendengarnya kerana ia mempunyai keaslian dan keistimewaannya yang tersendiri.
Lagu yang sering didahulukan pada mana-mana juga acara berendul ialah lagu yang bertajuk Ya Nabi. Lagu bersenikatakan bahasa Arab itu penuh dengan puji-pujian terhadap kebesaran Nabi Muhammad s.a.w. Lagu-lagu bersenikatakan bahasa Melayu akan menyusuli kemudiannya.
Jika dilihat pada bentuknya, lagu berendul adalah serupa dengan bentuk pantun ataupun syair. la mempunyai empat baris selain satu rangkap dan terdapat persamaan bunyi di hujungnya.
Sesebuah lagu berendul biasanya terdiri daripada tiga rangkap.
Contoh:
Sayapa ini orang berhajat,
Sayapa pun datang dengan yang cepat,
Bawalah sayapa dua, tiga dan empat,
Hajat berendul melepaskan niat.(pembuka kata)
Berendul ini jangan kau hairan,
Gantung di endul encik dan tuan,
Karang di endul emas dan intan,
Hajat berendul anak yang jantan.(untuk anak lelaki)
Berendul ini jangan kau hina,
Kain di endul warna berwarna,
Karang di endul emas dan bunga,
Hajat berendul anak betina.(untuk anak perempuan)
Berendul ini jangan kau lupa,
Gantung di endul rupa berupa,
Karang di endul emas dan suasa,
Hajat berendul anak bahagia.(kadang kala ada rangkap penutup)
Lagu di atas membawa maksud berendul itu diadakan untuk membayar atau melepaskan niat.
Berendul bukan setakat mendodoi untuk menidurkan anak. Ia juga bertujuan menghiburkan hati para pendengar yang menikmatinya. Nasihat yang berguna ada diselitkan dalam lagu-lagu berendul untuk dijadikan tauladan oleh sesiapa yang mendengarnya. Mari kita ikut nasihat yang terdapat di dalam lagu di bawah ini:
Ayuhai tuan muda bestari,
Jangan bermain sehari yang hari,
Banyakan ilmu engkau pelajari,
Supayalah senang kemudian hari.
Jangan tuan segan dan silu,
Pergi mengkaji kepada yang guru,
ikutlah tuan katanya itu,
Jangan berbuat barang tak tentu.
Lagu-lagu yang didendangkan dalam permainan berendul berbeza-beza di antara satu kumpulan berendul dengan yang lain. Cara persembahan atau penyampaiannya juga berlainan bergantung kepada kemahiran setiap kumpulan itu.
Sumber: http://mykedah2.com/10heritage/105_2.html
| < Sblm |
|---|


