Hutan Lipur Titi Hayun
Terakhir dikemaskini (Khamis, 21 Jun 2007 19:57) Khamis, 14 Jun 2007 20:33
Hutan Lipur Titi Hayun terletak kira-kira 3 km dari pekan Yan dan 40 km dari bandar Alor Star. Hutan lipur ini mendapat nama sempena kewujudan titi gantung berdekatan kawasan tersebut. Untuk sampai kesini anda boleh menggunakan pengangkutan awam atau kenderaan sendiri. Hutan lipur ini menjadi tumpuan pengunjung setiap hari, paling ramai pada cuti umum dan hujung minggu.
Jika anda datang dari arah Sungai Petani dan menggunakan bas, anda boleh menaiki bas di pekan Sungai Petani. Anda perlu memilih bas yang destinasi perjalannya tertulis Alor Star-Yan-Shahab Perdana kerana bas ini akan melalui jalan Merbok, yan dan seterusnya ke Alor Star. Kemudian anda perlu turun di Perhentian Bas Yan dan seterusnya menggunakan teksi untuk sampai ke Hutan Lipur Titi Hayun . Anda boleh menggunakan jalan Yan sekiranya anda dari arah Alor Star atau menggunakan jalan Alor Star/Sungai Petani sekiranya berkenderaan sendiri. Di jalan AS/SP akan melalui beberapa pekan kecil seperti Simpang Empat, Kota sarang Semut, Sungai Limau luar sehingga pekan Guar, kemudian membelok ke kanan menuju ke Pekan Yan .
Sekiranya anda ingin menikmati suasana malam disini, chalet ada disediakan . Sekiranya anda ingin menginap secara pakej, kadar sewa yang dikenakan ialah RM55 seorang, manakala dormitori antara RM25 dan RM30 seorang untuk sehari semalam. Penginapan secara bersendirian pula bayarannya untuk chalet antara RM60 dan RM100, manakala dormitori antara RM10 dan RM15 seorang untuk sehari semalam. Tempahan secara pakej untuk mengadakan seminar, hari keluarga atau kursus juga diterima disini.
Keseronokan mandi-manda dan bermain air lata yang sejuk yang mengalir menyusuri celah batu pasti akan menjadi kenangan indah. Selain itu bagi yang gemarkan cabaran dan aktiviti lasak, anda boleh cuba menawan puncak Gunung Jerai. Dari sini anda boleh menggunakan Tangga Kenari atau trek biasa yang akan membawa anda ke puncak. sekiranya anda datang sekadar untuk tenangkan fikiran, memanjat Tangga Kenari sudah memadai kerana untuk sampai ke anak tangga terakhir adalah cukup memenatkan! . Agak jarang orang sampai ke Air Terjun Puteri Mandi kerana terletak agak jauh, saya sendiri belum pernah sampai kesitu! . Anda perlu berjalan melalui denai hutan asli menyusuri dusun buah-buahan dan perkampungan tradisional Melayu dan ladang getah untuk sampai.
Dalam perjalanan pulang, anda dipelawa mencuba nira nipah, salah satu perusahaan yang popular di daerah Yan . Selain nira nipah anda boleh mencuba cuka nipah, cuka nipah diperbuat dari nipah dan dikatakan sesuai untuk pesakit 'darah tinggi'. anda boleh membeli dari peniaga sepanjang dari pekan Yan hingga ke pekan Sungai Yan. Akhir sekali diucapkan SELAMAT DATANG KE HUTAN LIPUR TITI HAYUN!!!
| < Sblm | Seterusnya > |
|---|


