Cerita Bolasepak Di Kuala Kedah Di Tahun 60-an dan 70-an
Cerita Bolasepak Di Kuala Kedah Di Tahun 60-an dan 70-an
Terakhir dikemaskini (Sabtu, 19 Januari 2008 19:27) Ditulis oleh azmi ahmad Selasa, 08 Januari 2008 21:12
Kuala Kedah dengan kedudukan kampung serta rumah yang agak rapat antara satu dengan lain menyebabkan kawasan untuk dijadikan padang bola sepak tidak dapat diwujudkan. Lantaran itu, mana-mana kawasan yang agak lapang dan kosong (panjang lebih kurang 25 meter) sudah dianggap memadai dan cukup untuk dijadikan gelanggang bolasepak bagi kami di waktu kanak-kanak.
Antara tempat yang menjadi tumpuan bermain bolasepak ialah di Kadap (KampongTengah), Rumah UMNO, Padang Kilat (depan Wisma Nelayan) dan belakang Madrasah Pak Haji Ani. Di Kadap dan Rumah Umno, tempat ini menjadi gelanggang hanya apabila tidak terdapat kerja-kerja membuat belat pok di situ.
Bagi saya dan rakan di Kampong Madrasah, tempat kami bermain bola ialah di antara rumah Tok Timah Chin Pak Kana dengan rumah datuk saya Tok Napiah Tukang.
Selain dari tempat tersebut, bolasepak juga dimainkan di petak bendang yang kering apabila tiba musim timur iaitu antara bulan Disember hingga Mac setiap tahun. Antara kawasan bendang yang kerap dijadikan padang bolasepak ialah tapak Sekolah Rendah Cina Pei Shih, Kuala Kedah sekarang bagi pasukan Kampong Kilang Ais manakala pasukan Lorong Mayat/KampongUlu bermain di tanah bendang berdekatan kampong mereka.
Aku pernah menyaksikan perlawanan bolasepak antara Kampong Kilang Ais melawan Lorong Mayat/Kampong Ulu bertempat di tapak asal Sekolah Rendah Pei Shih. Dalam perlawanan yang diadili oleh Pak Said Tembun itu, Lorong Mayat menang dengan 2-1 hasil jaringan gol penalti yang kontraversi.
Apabila Perumahan Murah Rida dibina pada pertengahan tahun 60-an berdekatan Kampong Tepi Laut, sebuah padang bolasepak juga turut disediakan di situ. Sehubungan itu,beberapa perlawanan dan kejohanan telah dilangsungkan di sini memandangkan saiz padang yang memenuhi kehendak undang-undang bolasepak.
Berbeza dengan Sekolah Kebangsaan Kuala Kedah (di Seberang Kota) yang memiliki padang bolasepak sendiri di kawasan sekolah, kami penuntut Sekolah Seberang Nyonya (kini Sekolah Kebangsaan Haji Ismail) agak kurang bernasib baik kerana tiada kemudahan padang disediakan di sekolah kami kerana kawasannya agak terhad. Oleh itu jika ada sebarang kejohanan peringkat Daerah Kota Setar II maka kami murid-murid sekolah terpaksa berlatih di petak bendang yang berhampiran sekolah (pada tahun 1971 kami berlatih di kawasan bendang dekat rumah murah). Walaupun kemudahan padang bolasepak agak menyedihkan namun ada juga anak Kuala Kedah yang pernah mencipta nama di arena bolasepak negeri dan peringkat kebangsaan seperti Shaharudin Shaari dan Faridzul Kassim yang pernah mewakili Negeri Kedah di dalam Piala Malaysia dan sebagainya.
- http://kolakedah.blogspot.com
| < Sblm | Seterusnya > |
|---|


