Menteri Besar melawat tapak Hub Hidrokarbon di Sungai Limau
Menteri Besar melawat tapak Hub Hidrokarbon di Sungai Limau
Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Ahad, 17 Mei 2009 22:41
YAN, 13 Mei: Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mengadakan lawatan ke tapak projek penapisan minyak Hub Hidrokarbon di Kuala Sungai Air Itam Mukim Sungai Daun Daerah Yan.
Projek besar lagi bersejarah ini akan dimulakan pembinaan pada Ogos tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2013 dan dijangkan beroperasi pada tahun 2014. Projek ini akan memberi pedapatan sebanyak RM400 juta kepada kerajaan negeri dan membuka peluang kerja kepada 3,500 penduduk tempatan.
Lawatan ini bertujuan meninjau kawasan tapak pecah tanah yang akan disempurnakan oleh KDYMM Tuanku Sultan pada bulan Ogos ini. Turut sama dalam lawatan tersebut semua Ahli Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato’ Wira Rasli Basir, Pegawai Kewangan Negeri YB Dato’ Mohamad Puat Haji Ali, Pengerusi Eksekutif Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd Encik Md Nazri Ramli, Pegawai Daerah Yan Encik Fuzi Mahyudin, ketua-ketua jabatan dan penduduk sekitar Sungai Limau.
Menurut Dato’ Seri Azizan, projek ini membuktikan kerajaan serius dalam memberi pembangunan kepada rakyat di sini. Ini berikutan pemindahan projek dari daratan ke laut kerana menyelamatkan tanah pertanian milik penduduk tempatan menjadi kontroversi tidak lama dulu.
“Ini bukan bermakna tanah-tanah milik penduduk di sini tidak laku apabila tidak jadi diambil tetapi kerajaan mahu mengekalkan tanah pertanian sebagai sumber makanan,
“Tapak perasmian pecah tanah ini akan dibiarkan menjadi tempat lawatan pelancong yang datang ke sini untuk melihat projek ini,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menyeru penduduk tempatan mengambil peluang dengan menyediakan rumah-rumah sewa dan kedai makan disamping menjaga kebersihan serta landskap yang menarik sekitar rumah masing-masing.
“Kerajaan tidak akan ambil tanah rakyat tetapi akan mengawal pertumbuhan supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan membeli tanah-anah di sini untuk di bangunkan sebagai kawasan perumahan.
“Ini kawasan industri besar dan diharap kerjasama penduduk di sini menyediakan suasana bertaraf dunia bagi melonjak nama Kedah di persada antarabangsa,” katanya.
| < Sblm | Seterusnya > |
|---|


