Berita & Pengumuman

“ماي قدح - mykedah.org” ڤوست معلومت نڬري قدح - Pusat Maklumat Negeri Kedah

Berita & Pengumuman

Skim Rondaan Sukarela Akan Diperkenalkan Kembali

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Rabu, 18 Februari 2009 12:33

LUNAS, 15 Februari - Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang tidak aktif sejak beberapa tahun dahulu akan diperkenalkan kembali sebagai langkah awal untuk mencegah peningkatan kadar jenayah.di negeri ini.
 
Peningkatan kes-kes rogol, samun, ragut dan pecah rumah yang melibatkan warga asing telah menyebabkan peningkatan gejala sosial di kawasan-kawasan perumahan dan pinggir bandar.

Ekoran itu, Majlis Perbandaran Kulim melalui Bahagian Perkhidmatan Bandar telah mengadakan Majlis Gotong-royong Bersama Penduduk-penduduk Taman Senangin  untuk menyedarkan masyarakat mengenai tahap kualiti kebersihan dan keselamatan.

Taklimat mengenai keselamatan penduduk-penduduk kampung dan taman di situ telah disampaikan oleh Ketua Balai Polis Daerah Kulim (KBP), Cif Inspektor Mohd Azlan Abd Kadir di perkarangan Jalan Senangin, Taman Senangin, Kelang Lama, dekat sini.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), YB Mohammad Radzhi Salleh yang berucap pada majlis itu berkata, untuk menjadi sihat, aktiviti gotong-royong untuk  membersihkan persekitaran kawasan  mestilah ditingkatkan supaya ia selesa diduduki  dan melahirkan masyarakat yang bekerjasama di antara satu sama lain.

“Segelintir pendatang-pendatang asing yang menetap di sini telah menimbulkan beberapa masalah dan kerenah kepada pihak kerajaan dengan melakukan jenayah serta mengotorkan kawasan perumahan dengan sampah-sarap.

“Kita benarkan mereka mencari rezeki di sini, tetapi tidak bermakna kita mengizinkan mereka melakukan jenayah dan membuat kotor sesuka hati, sedangkan kompromi kita ada batas.

“Bahkan ada pendatang-pendatang asing di Felda Bukit Tangga, dekat Sintok mengambil kesempatan untuk menjual diri mereka di negara ini, tetapi  mereka tidak berbuat begitu di negara mereka sendiri, akhirnya kita yang mendapat malu,” katanya.

Beliau menjelaskan, persekitaran yang selesa bukan bermakna aspek kebersihan sahaja yang perlu ditekankan tetapi lebih daripada itu,  ia juga melibatkan pencapaian tahap indeks kadar jenayah dan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik kepada penduduk-penduduk setempat.

“Marilah kita jadikan Taman Senangin ini sebagai sebuah lagi projek perintis (pioneer) kepada pelaksanaan SRS yang lebih berkesan di samping menjadikan taman ini sebagai sebuah taman yang paling bersih dalam daerah Kulim,” ujarnya.
 

Ketua kampung mesti pro aktif hadapi masalah rakyat

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Rabu, 18 Februari 2009 12:27

ALOR SETAR – Semua ketua kampung kawasan DUN Bakar Bata dan Alor Mengkudu menghadiri majlis taklimat ketua-ketua kampung (MKK) yang diadakan di Dewan Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar, Lebuh Raya Darul Aman,  dekat sini.

Majlis taklimat itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Penerangan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, YB Dr Ismail Salleh.

Beliau mengingatkan ketua kampung supaya bersikap proaktif dalam menghadapi masalah rakyat.

“Sebenarnya tuan-tuan telah dipilih oleh Allah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ketua kampung ini dengan penuh amanah. Kalau amanah ini dipegang sungguh-sungguh, saya yakin ketua-ketua kampung akan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing ini dengan adil, dan akhirnya memberikan imej yang sangat baik kepada pemerintahan kerajaan negeri,” ujarnya.

Tambah Dr. Ismail, ketua kampung akan menjadi indikator (penunjuk aras) kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri yang ada pada hari ini. Ketua-ketua kampung yang dilantik ini mestilah mempunyai sifat proaktif terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat,”  kata Dr Ismail Salleh

Beliau memberikan contoh, suatu ketika dulu berlaku banjir besar dalam kawasan DUN Alor Mengkudu, namun terdapat bakal ketua-ketua kampung di situ yang proaktif, mangsa-mangsa banjir yang terlibat berjaya diuruskan dengan sempurna.

“Sebenarnya tidak ada arahan pun daripada pejabat wakil rakyat ataupun Exco, tetapi oleh kerana beberapa orang di situ yang sangat proaktif, masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Dr Ismail Salleh juga mengingatkan ketua-ketua kampung agar bekerja sebagai satu keluarga dan sentiasa bekerjasama dengan penghulu-penghulu mukim supaya kerja-kerja yang dijalankan oleh mereka mengikut hairaki organisasi  pentadbiran kerajaan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Kota Setar, Nurul Huda Mohd Ali.

 

MBAS Hapuskan Pusat Maksiat

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Khamis, 29 Januari 2009 14:39) Khamis, 29 Januari 2009 14:27

ALOR SETAR – Apabila disebut Lorong Petani, pasti dibayangkan sarang pelacuran yang telah beroperasi sejak 50 tahun lalu.

Baru-baru ini, sarang tersebut telah dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam satu operasi dengan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Agama Islam Kedah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Daerah Kota Setar, Jabatan Bekalan Air Kedah, Tenaga Nasional Berhad serta Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Menurut Pengarah Operasi Runtuh, Encik Md Nayan Bahari, kawasan tersebut turut dijadikan tempat kegiatan tidak bermoral seperti penagihan dadah.

Wartawan turut dimaklumkan bahawa kegiatan tersebut melibatkan pelajar belasan tahun serta warga emas lingkungan 40-an dalam menawarkan khidmat pelacuran dan ‘pelanggan’ di kalangan warga tempatan serta pekerja asing.

“Selain bertujuan membanteras kegiatan tidak bermoral, operasi kali ini juga merobohkan beberapa buah rumah setinggan yang terlibat dalam pembinaan landasan kereta api berkembar.

“Walaupun tempat ni dah roboh beberapa kali, ia tetap beroperasi semula kerana tanah tersebut terbiar dan kawasan tersebut turut dikawal oleh tonto yang memberi maklumat jika ada sebarang serbuan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam operasi yang bermula seawal jam 8 pagi, pondok serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan pelacuran tersebut telah diroboh serta dibakar bagi mencegah daripada dibina semula.

“Kami turut merobohkan kandang peliharaan binatang ternakan yang dibina secara haram serta kami dapati sebuah rumah yang dikatakan menjadi ‘master mind’ kepada kegiatan tersebut.

“Rumah yang terlibat untuk dirobohkan telah diberikan notis sebelum ini agar mereka dapat mengosongkan tempat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan,” ujar beliau.

Tambah beliau, diharap kerjasama sebegini dapat diteruskan dengan satu tujuan membanteras gejala sosial serta maksiat daripada terus berleluasa membunuh anak-anak bangsa kita.

   

Ejaan Alor Star dikembalikan kepada Alor Setar

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 20 Januari 2009 14:33) Isnin, 19 Januari 2009 14:39

ALOR SETAR, 15 Januari: Ejaan ‘Star’ akan balik semula kepada ejaan asal ‘Setar’ yang membawa maksud pokok setar. Ini berdasarkan sejarah nama itu diambil sempena nama alor dan pokok setar.

“Mengikut ejaan asal ialah Setar tetapi telah ditukar menjadi Star oleh kerajaan dahulu. Kita bukan menukar tetapi kita kembali kepada ejaan asal setelah menerima permintaan daripada Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan dan beberapa pertubuhan sukarela,” kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Beliau meminta jabatan-jabatan kerajaan dan pihak swasta supaya menukar ejaan kepala surat jabatan masing-masing kepada “Setar’. Begitu juga dengan papan-papan tanda di jalan-jalan raya hendaklah berbuat demikian.

“Langkah ini boleh dibuat dari masa ke semasa bukannya berkuat dengan segera,” ujarnya “Kita faham kedudukan kewangan masing-masing tetapi untuk melaksanakan pertukaran ejaan tidak membebankan sangat. Ejaan itu akan dikuatkuasakan selepas pihak Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan penggunaan kepada semua jabatan kerajaan agensinya”

Baca Lagi: Ejaan Alor Star dikembalikan kepada Alor Setar

 

Tanjung Dawai akan dibangunkan lagi sebagai destinasi pelancongan

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Sabtu, 17 Januari 2009 16:00) Sabtu, 17 Januari 2009 15:57

Perbincangan mengenai pembangunan Tanjung Dawai akan dibincangkan dalam mesyuarat tindakan negeri akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, perbincangan itu adalah untuk merancang pembangunan pekan kecil itu untuk menjadi daya tarikan pelancong mengunjungi Negeri Kedah Darul Aman.

Menurutnya, hasil pemerhatiannya terhadap tahap pembangunan Tanjung Dawai, pekan kecil itu masih mempunyai beberapa perkara yang perlu dilakukan.

“Ia meliputi beberapa perkara penting yang perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum langkah lain diambil iaitu mengurangkan kemiskinan tegar masyarakat di sini yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan tahap kebersihan ditingkatkan,” jelasnya.

Beliau berkata, jika dahulu banyak wang pembangunan telah dicurahkan di sini, demi menjadikan tempat ini sebagai tarikan pelancong, tetapi hasilnya masih tidak nampak.

YB. Dr. Haji Hamdan  berharap masalah kemiskinan dan tahap kebersihan Pekan Tanjung Dawai diberikan keutamaan terlebih dahulu sebelum dapat dijadikan tarikan pelancong.

Ujarnya, penganjuran program seperti gotong-royong amat penting untuk membuka mata pemimpin  dan masyarakat mengenai keistimewaan pekan kecil ini dan menjadikan Tanjung Dawai sebagai destinasi pelancongan di Negeri Kedah Darul Aman.

Sebagai ADUN Tajung Dawai, beliau berharap pasukan Bomba Sukarelawan di Tanjung Dawai dapat ditubuhkan dengan segera sebagai langkah membawa kepada pembangunan di situ dan memastikan aspek keselamatan lebih terjamin.
   

Halaman 5 daripada 9