Berita & Pengumuman

“ماي قدح - mykedah.org” ڤوست معلومت نڬري قدح - Pusat Maklumat Negeri Kedah

Berita & Pengumuman

Denggi masih jadi ancaman di Kedah

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Selasa, 12 Mei 2009 13:14

ALOR SETAR:  Dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2009, terdapat sebanyak 358 kes membabitkan demam denggi daripada 17,501 kes demam denggi di seluruh negara.
 
Dalam tempoh tiga bulan pertama pada tahun 2009, didapati 50,000 premis yang diperiksa tidak mempunyai sebarang pembiakan nyamuk Aedes manakala pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati terdapat sebanyak 641 kes pembiakan nyamuk Aedes berlaku dan jumlah kompaun yang berjaya dikutip ialah sebanyak RM491,000.

Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Zainal Hj. Che Mee berkata, sebanyak tujuh kes membabitkan deman denggi didaftarkan ke mahkamah.

“Amalan bergotong-royong adalah langkah terbaik dalam usaha mencegah setiap kawasan daripada pembiakan nyamuk Aedes agar kawasan persekitaran berada dalam keadaan bersih dan indah,” jelasnya.

Menurutnya, sampah sarap termasuk tin-tin kosong dan tayar buruk serta tempurung hendaklah dibersihkan segera agar pembiakan nyamuk Aedes tidak merebak dan kita terhindar daripada sebarang penyakit berjangkit.  Beliau berkata demikian pada majlis perbincangan mengenai isu-isu kesihatan dalam negeri Kedah anjuran Persatuan Pembayar-Pembayar Cukai negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) yang diadakan di JKNK, di sini.

Beliau menjelaskan, sehingga kini tidak ada sebarang kematian akibat daripada demam denggi yang menular di negeri ini.

Mengenai tandas awam yang tidak memuaskan, Presiden Persatuan Pembayar-Pembayar Cukai negeri Kedah, Syed Mansor Syed Salim memberitahu, persatuan itu amat prihatin terhadap masalah yang berlaku itu.

“Dalam hal ini, kebersihan amat penting dalam kehidupan seharian dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam usaha menjadikan kawasan persekitaran bersih dan mampu mendidik diri dengan aspek kebersihan,” katanya.

Kempen gotong-royong, katanya, adalah langkah terbaik dalam usaha mengajak semua lapisan masyarakat untuk sama-sama berganding bahu dalam melaksanakan tugas berkenaan agar ia tercapai dengan jayanya.  “Satu Majlis Jawatankuasa Khas perlu diwujudkan dalam menangani masalah itu dan kita berharap dengan wujudnya jawatankuasa itu akan dapat merealisasikan hasrat berkenaan,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, YB. Dr. Ismail Salleh dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri memandang serius terhadap masalah yang berlaku itu dan tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menangani segera masalah itu dan tahap kebersihan perlu dijaga agar persekitaran di setiap kawasan berada dalam keadaan bersih dan indah,” tambahnya.
 

Terlalu lama menunggu di hospital, perlu diatasi

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Selasa, 12 Mei 2009 13:07

ALOR SETAR, 10 Mei:  Kerajaan perlu memikirkan satu pendekatan yang terbaik dalam mengatasi masalah kelambatan perkhidmatan di hospital terutama kepada golongan warga tua.
 
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menjelaskan, masalah seperti itu perlu ditangani segera agar kebajikan warga tua dapat dijaga dengan sebaiknya ketika mendapatkan perkhidmatan di hospital.  Menurutnya, jangka masa yang agak panjang untuk mendapatkan perkhidmatan di setiap hospital perlu dipendekkan agar orang ramai berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan itu.

“Dalam hal ini, saya berhasrat ingin mengetahui masalah yang dihadapi oleh golongan warga emas ketika mereka mendapatkan perkhidmatan di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Bekas Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Kedah ke-11 di Teratak Pesara Darul Solihin, Jalan Bukit Tembaga, di sini.

Beliau berkata, kerajaan perlu memikirkan bentuk penghargaan yang perlu diberikan kepada golongan pesara kerajaan kerana mereka banyak memberi sumbangan yang terbaik ketika menjalankan tanggungjawab sebagai kakitangan kerajaan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga akan mengagihkan sebanyak satu peratus daripada keuntungan projek penapisan minyak Hub Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) di Yan kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Dato’ Paduka Raja Dato’ Hj. Wan Mahmood Pawan Teh berkata, Kerajaan memberi pencen minima sebanyak RM720 kepada kakitangan kerajaan yang berkhidmat lebih daripada 25 tahun bagi menghargai khidmat bakti yang dicurahkan oleh kakitangan kerajaan.

Pengurangan pencen juga turut dihapuskan dan pencen penuh kepada pesara kerajaan turut dikembalikan.

“Kita juga turut meminta agar kerajaan memberi perhatian terutama membabitkan pencen kepada balu pesara kerajaan,” ujarnya.
 

Perjanjian dengan KEDA mungkin tidak disambung

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Khamis, 07 Mei 2009 16:28

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri membuat keputusan menyemak semula perjanjian dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang dijangkakan berakhir pada tahun 2010.
 
Penyemakan ini dilakukan bagi memutuskan sama ada perjanjian tersebut akan diteruskan atau sebaliknya.  Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak memaklumkan, keputusan ini diambil berikutan pihak KEDA gagal memenuhi terma-terma perjanjian yang telah dipersetujui bersama Kerajaan Negeri.

Menurut perjanjian yang ditetapkan, KEDA perlu melantik tiga wakil daripada Kerajaan Negeri, namun apa yang dikesalkan, sehingga setahun Pakatan Rakyat (PR) mentadbir negeri, terma tersebut masih belum dipenuhi.

“Saya dah arahkan Penasihat Undang-undang Negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri semak semula perjanjian dengan KEDA dan sepatutnya dia (KEDA) kena laksanakan terma perjanjian dengan Kerajaan Negeri, tapi sekarang kita dapati dah setahun, tak ada perlaksanaan pada terma-terma yang tertulis dalam kontrak.

“Dalam kontrak, kita dah setuju bahawa anggota KEDA mesti ada tiga wakil dari Kerajaan Negeri, tapi tiada pelantikan dibuat, jadi akan semak semula yang bertujuan untuk kepentingan dan kebaikan rakyat Kedah.

“Kita dah tunggu dan minta KEDA untuk beri penerangan dan penjelasan, tapi sehingga sekarang mereka (KEDA) Nampak tak berminat,” jelas beliau kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini.

KEDA telah ditubuhkan pada 28 Mei 1981 dengan tujuan membantu dan mempercepatkan lagi pembangunan social dan ekonomi di kawasan KEDA.
   

"Seronok dapat melawat Kedah”

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Khamis, 07 Mei 2009 16:28) Khamis, 07 Mei 2009 16:22

ALOR SETAR - Seramai 40 pelajar Maahad Al-Tarbiah Al-Diniah, Yala, Thailand mengadakan lawatan sambil belajar ke negeri Kedah Darul Aman bagi meninjau perkembangan sekolah agama di negeri ini.
 
Pengetua Maahad Al-Tarbiah Al-Diniah, Ustaz Haji Ahmad Zaki Haji Solleh berkata, lawatan sambil belajar yang disertai oleh pelajar Tingkatan Empat dan Enam itu diharap mampu membuka minda setiap pelajar untuk mempelajari suasana yang terdapat di negeri Kedah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah kerana menyambut kedatangan kami dan kami tidak akan lupa dengan kerjasama yang diberikan itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap dengan lawatan ini, ia secara tidak langsung akan dapat menarik minat pelajar dari Maahad Al-Tarbiah Al-Diniah untuk menyambung pelajaran mereka di negeri ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga turut mengalua-alukan kedatangan Kerajaan Negeri Kedah ke Maahad Al-Tarbiah Al-Diniah, Yala, Thailand.

Seorang pelajar, Symsuding Ahmad, 21 tahun yang berasal dari Yala, Thailand berkata, dia berasa seronok dapat melawat negeri Kedah dan merasakan bahawa lawatan ini mampu memberi peluang kepadanya untuk mendekati suasana yang terdapat di negeri ini.

“Inilah pertama kali saya datang ke negeri ini dan saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat-tempat menarik yang terdapat di negeri Kedah seperti Muzium Padi dan Menara Alor Setar,” ujarnya.  Beliau yang bercita-cita untuk menjadi Ustaz menegaskan bahawa lawatan sambil belajar ini merupakan langkah yang terbaik dalam usaha mendidik pelajar dengan didikan yang sempurna.

Seorang pelajar, Fausani Che Wan, 17 tahun berkata, inilah kali pertama dia datang ke negeri ini sempena lawatan sambil belajar serta menghayati keindahan yang terdapat di negeri Kedah.

Beliau yang merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik itu merasa seronok kerana terpilih untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke negeri Kedah Darul Aman.
Rombongan itu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Penerangan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, YB. Dr. Ismail Salleh di Rumah Kediaman Menteri Besar, Sri Mentaloon, di sini. 
 

Dasar jadikan Kedah Negeri Ilmu

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Ahad, 26 April 2009 20:56

Semua sekolah persendirian diberi bantuan

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menyalurkan bantuan kepada semua sekolah persendirian di negeri Kedah iaitu sekolah agama rakyat, sekolah bantuan Cina dan India.

Pendekatan dasar ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Kedah sebagai ‘Negeri Ilmu’ serta melengkapkan dasar keadilan kepada semua.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak semasa berucap pada majlis pecah tanah asrama puteri (baru) Madrasah At Taklimiah Al Khairiah (MTK), Tok Keling, di sini.

“Memang kita dalam institusi pendidikan amat titik berat, dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kerajaan negeri dah putuskan bagi bantuan pada semua sekolah private iaitu sekolah agama rakyat, sekolah bantuan Cina dan India, setelah dikaji.

“Cuma kita sedang fikir apakah bantuan yang akan disalurkan berdasarkan keperluan fizikal, bangunan, keperluan asas pelajar,” jelas beliau.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada pentadbiran negeri bagi pembangunan insan yang cemerlang dalam pendidikan, disiplin dan moral.

“Tak ada makna kalau kita maju, kaya raya, duit ada ratus juta, tapi rakyat pincang, sama seperti orang kaya di kampung, ada anak lima, duit ratus ribu, saham ratus ribu, anak-anak di rumah tak ada yang berguna, cuma seorang yang boleh harap ke surau,” ujar beliau.

Madrasah At Taklimiah Al Khairiah (MTK) bakal mendapat bangunan asrama puteri baru berikutan pertambahan pelajarnya yang memberangsangkan kepada 312 pelajar berbanding 245 pada tahun 2008.

Ini menunjukkan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah yang berteraskan agama terus meningkat dalam melahirkan generasi berpendidikan serta berakhlak mulia.

Majlis ini turut disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB. Dr Ismail Salleh, Ahli Parlimen Pendang, YB. Dr. Haji Mohd Hayati Haji Mohd Othman, ADUN Bukit Lada, YB. Ustaz Ahmad Izzat Mohd Shauki yang juga merupakan bekas pelajar MTK dan Pengetua MTK, Ustaz Ahmad Yahya.

Baru-baru ini kerajaan juga telah meluluskan seluas 5.5 hektar tanah bagi pembinaan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Tok Pawang, Bedong. Di akhir tahun 2008, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan turut menyempurnakan majlis pecah tanah asrama baru Sekolah Menengah (Persendirian) Keat Hwa di Alor Setar.

Sumber: wartakedah.com

 

 

   

Halaman 3 daripada 9