Berita & Pengumuman

“ماي قدح - mykedah.org” ڤوست معلومت نڬري قدح - Pusat Maklumat Negeri Kedah

Berita & Pengumuman

Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai akan dibangunkan semula

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Sabtu, 11 Julai 2009 09:52) Sabtu, 11 Julai 2009 09:47

ALOR SETAR – Lokasi Plaza Tunku Yaakob yang strategik di tengah Bandar Alor Setar yang berhadapan  Menara Alor Setar, pada asalnya ingin dibangunkan sebagai pusat komersial. Bagaimanapun kerana beberapa kesulitan yang dihadapi oleh pemaju yang terdahulu projek tersebut terbengkalai sehingga ke hari ini.

Kerajaan Negeri Kedah bersikap positif untuk membangunkan  semula Plaza Tunku Yaakob serta projek yang terbengkalai yang terletak di lokasi strategik bandaraya Alor Setar.

Demikian ucapan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak di Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Pembangunan Semula Plaza Tunku Yaakob di Wisma Darul Aman.

Projek ini akan diadakan secara usahasama di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan pemaju iaitu Bellview Bina Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat di bawah Bellview Group.

Selain itu, projek pembangunan semula kompleks ini akan merangkumi dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B, di dalam pembangunan tersebut akan menyaksikan Pembinaan Kompleks yang mengandungi ruang “anchor tenant ” yang bertaraf antarabangsa, hotel bertaraf tiga dan lima bintang serta “retail outlets” yang mencukupi.

Projek ini di jangka siap lebih kurang tiga tahun dari tarikh kelulusan rasmi diperolehi daripada pejabat-pejabat Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Saya menyokong usahasama antara syarikat Bellview Bina Sdn. Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah kerana syarikat ini telah mempunyai pengalaman dan rekod cemerlang  di dalam pambangunan projek perumahan, komersial dan projek-projek terbengkalai di Pulau Pinang,” katanya.

Antara projek komersial yang telah berjaya disiapkan ialah Island Plaza, pusat membeli belah di Tanjung Tokong, 1 Avenue, pusat membeli belah di Komtar serta lain-lain.

“Justeru projek ini akan memberi peluang untuk peniaga kecil Bumiputera dan tempatan yang ingin menceburi diri dalam perniagaan ‘retail’ dan juga di medan selera yang terdapat di dalam kompleks komersial ini.

“Saya berharap pembangunan semula Plaza Tunku Yaakob ini akan menyaksikan Kedah mempunyai satu pusat komersial bertaraf antarabangsa dan juga hotel tiga bintang sekaligus merubah wajah Bandaraya Alor Setar, InsayAllah,” katanya.

Antara yang hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Mohd Taulan Mat Rasul dan Pengarah Urusan Bellview Group, Dato’ Sonny Ho Kiong Chan.

 

Jom Ke Karnival Seri Astana 2009 Di Pasar Astana & Home Mart, Bandar Seri Astana, Sungai Petani

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Khamis, 02 Julai 2009 10:28) Khamis, 02 Julai 2009 09:48

Kami menerima email seperti berikut:

Assalamualaikum..

Saya shaifol nizam bin abu bakar, marketing executive di EUPE Kemajuan Sdn. Bhd. di hubungi di 017-5170691.saya merujuk kepada laman web mykedah.org  (Apabila anda ada maklumat seperti aktiviti, berita dan lain-lain yang ingin dihebahkan di sini sila kirimkan kepada kami ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya .).

saya ingin menyumbang sedikit berita untuk dihebahkan  .

EUPE Kemajuan Sdn. Bhd., anak syarikat EUPE Corporation Berhad akan mengadakan satu karnival seperti yang saya attachkan di email ini:

_____________________________________________________________________

 

JOM KE KARNIVAL SERI ASTANA 2009, DI PASAR ASTANA & HOME MART, BANDAR SERI ASTANA, SUNGAI PETANI


Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan “Selamat Datang Ke Bandar Seri Astana” untuk para pembeli Parcel C yang baru sahaja mendapat Sijil Kelayakan Menduduki dan kepada masyarakat di luar umumnya.  Sebagai mengalu-alukan perpindahan mereka ke rumah baru, kami akan mengadakan Karnival Seri Astana disamping mempromosikan fasa baru kami iaitu Fasa E.
Tarikh        :    10 & 11 hb Julai 2009
Masa    :    8.00 pagi – 6.00 petang
Tempat        :    Pasar Astana & Home Mart
Bandar Seri Astana, Sungai Petani, Kedah.
Acara- Acara    :    1.     Kejohanan Futsal Piala Eupe Corp. Bhd 2009 (Musim ke 3)
2.    Pertandingan Autoshow Car & Scooter
3.    Pertandingan Gubahan Bunga
4.     Penampilan Istimewa Orang Tertinggi Dunia-Ijaz Ahmad
Selain daripada acara- acara tersebut, pelbagai aktiviti lain juga akan diadakan. Anda dapat membeli  pelbagai barangan dari para peniaga yang turut menyertai aktiviti ini dengan  harga yang menarik dan menangilah pelbagai hadiah yang ditawarkan sepanjang hari tersebut.

 

Untuk maklumat lanjut sila klik pada --> KejohananFutsalPialaEupeCorp.Bhd2009.doc

____________________________________________________________________

 

Terima kasih kepada saudara Shaifol Nizam bin Abu Bakar di atas email yang dikirim oleh beliau.

 

 

 

Durian Burung pemangkin ekonomi Kedah Timur

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Rabu, 01 Julai 2009 08:48) Rabu, 01 Julai 2009 08:41

ALOR SETAR: Projek Trans Eastern Kedah Interland Highway dari Durian Burung ke Kupang, Baling oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah Darul Aman adalah untuk memantapkan rangkaian jalan di Negeri Kedah khususnya bagi menghubungkan bahagian Utara dan Selatan.

Projek ini menghubungkan pintu masuk ke Thailand di Durian Burung dengan Lebuhraya Timur-Barat melalui Baling dan tempoh perjalanan dari Baling ke Durian Burung dapat disingkatkan dari dua jam 15 minit kepada satu jam 30 minit.

Menurut Jurutera Kanan (Bahagian Jalan), JKR Negeri Kedah, Ir. Salleh Othman, projek ini diharap dapat mempertingkatkan 'accessibility' dan menjadi pemangkin bagi membangunkan bahagian Timur Negeri Kedah meliputi Daerah Padang Terap, Sik dan Baling untuk diseimbangkan dengan bahagian Barat yang lebih maju.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato' Ir. Haji Phahrolrazi Haji Zawawi di JKR Negeri Kedah Darul Aman, Jalan Sultan Badlishah, di sini.

"Skop kerja projek ini ialah membina jalan dua lorong dua hala mengikut piawaian JKR R5 sepanjang 115 kilometer dan keluasan keseluruhan koridor jalan yang terlibat ialah 400 hektar," jelasnya.

Beliau berkata, projek ini juga turut melibatkan pembinaan jambatan baru dan pelebaran jambatan sedia ada berjumlah 18 buah dan kerja-kerja penurapan jalan sepanjang laluan serta pembinaan persimpangan dan kerja-kerja perparitan di samping kerja geoteknikal di kawasan berbukit termasuk menyediakan lanskap, perabut dan lampu jalan serta pengalihan kemudahan awam.

Pakej A melibatkan jalan sepanjang 74.3 kilometer, pakej B segmen A sepanjang 6.6 kilomter, pakej B segmen B sepanjang 8.6 kilometer, pakej B segmen C sepanjang 7.2 kilometer, pakej B segmen D sepanjang 9.4 kilometer manakala pakej B segmen E sepanjang 8.6 kilometer.

Pakej A melibatkan jalan sepanjang 74.3 kilometer membabitkan kos kontrak sebanyak RM287 juta dan tarikh siap semasa ialah pada 30 Mac 2010 manakala pakej B segmen A melibatkan jalan sepanjang 6.6 kilometer membabitkan kos kontrak sebanyak RM32,446,045 dan tarikh siap ialah pada 12 September 2009. Bagi pakej B segmen B melibatkan jalan sepanjang 8.6 kilometer membabitkan kos kontrak sebanyak RMRM28,020,610 juta dan tarikh siap ialah pada 15 Disember 2009; pakej B segmen C melibatkan jalan sepanjang 7.2 kilometer membabitkan kos kontrak sebanyak RM24,249,789 juta dan tarikh siap ialah pada 8 Januari 2010;

Pakej B segmen D melibatkan jalan sepanjang 9.4 kilometer membabitkan kos kontrak sebanyak RM40,950,000 juta dan tarikh siap ialah pada 19 September 2009 dan pakej B segmen E melibatkan jalan sepanjang 8.6 kilometer membabitkan kos kontrak sebanyak RM27,210,183 juta dan tarikh siap ialah pada 30 September 2009.

Status pengambilan balik tanah (sehingga 31 Mei 2009) membabitkan jumlah keseluruhan lot-lot terlibat bagi pakej A ialah 686, lot tanah kerajaan (52), lot tidak dituntut oleh pemilik (dianggap sebagai tanah kerajaan) ialah 31, lot-lot baru yang belum bicara (3), lot bermilik yang telah bicara (600), lot bermilik borang G/H telah dikeluarkan (600) dan lot bermilik yang bayaran telah dibuat ialah 598.

Manakala status struktur/bangunan terlibat (sehingga 31 Mei 2009) melibatkan struktur dalam lot bermilik bagi pakej A ialah 293, struktur yang telah selesai bicara (293), struktur yang telah keluar borang G/H (293) dan struktur yang telah dibayar ialah 293.

"Kita meminta Kerajaan Negeri menguatkuasakan ke atas struktur-struktur yang telah dibayar pampasan di sembilan buah di Daerah Sik manakala di kawasan Pedu, pihak JKR terpaksa merekabentuk semula cerun yang akan melibatkan tanah kerajaan negeri (hutan simpan dan meminta Kerajaan Negeri memberi kebenaran untuk memasuki tanah berkenaan di samping meminta agar menyegerakan proses pengambilan balik tanah untuk lapan lot baru bagi mempercepatkan pelaksanaan projek Trans Eastern Kedah Interland highway dari Durian Burung ke Kupang, Baling," jelasnya.


   

‘Shuttle Bus’ atasi kesesakan menunggu bas

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Rabu, 01 Julai 2009 08:33

ALOR SETAR - Kesesakan tempat menunggu bas dalam di Bandar Raya Alor Setar akan dapat di atasi setelah kerajaan melaksanakan ‘Shuttle Bus’ ke Terminal Bas Sahab Perdana.

Bas ini akan melalui Jalan Langgar, Jalan Tunku Ibrahim  dan tempat-tempat strategik yang akan dikenal pasti kelak sebelum ke detinasi akhir di Terminal Bas Sahab Perdana, kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco hari ini.

Untuk itu kerajaan akan mengkaji kadar tambang bagi bas berkenaan tetapi akan mengambil kira keselesaan rakyat.

Apabila ditanya adakah kerajaan akan memberi perkhidmatan percuma kepada rakyat yang menggunakan khidmat ‘Shuttle Bus’ ini beliau berkata, yang pasti  tambangnya tidak akan membebankan rakyat dan kadarnya sama untuk semua laluan.  

Selain itu tambahnya lagi, kepesatan Bandar Raya Alor Setar begitu ketara sejak 15 tahun kebelakangan menyebabkan kekurangan tempat-tempat meletak kereta.

Bercakap mengenai ini beliau memuji Majlis Perbandaran Sungai Petani yang melaksanakan sistemnya sendiri ternyata telah berjaya mengatasi masalah kekurangan tepat letak kereta.

Sebelum itu beliau memberitahu, Kerajaan Negeri telah meluluskan tapak baru seluas 3.4 hektar untuk bangunan baru Sekolah Rendah Jenis Kebangsan Cina, Pumpong. Tapak bernilai RM3 juta itu letaknya tidak jauh dari bangunan sekolah yang lama iaitu berhampiran Taman Pandan.

Bangunan lama bertentangan dengan bangunan Wisma Darul Aman telah dikosongkan berikutan telah uzur dan tidak mampu menampung pertambahan pelajar.
 

Menteri Besar melawat tapak Hub Hidrokarbon di Sungai Limau

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Ahad, 17 Mei 2009 22:41

YAN, 13 Mei:  Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mengadakan lawatan ke tapak projek penapisan minyak Hub Hidrokarbon di Kuala Sungai Air Itam Mukim Sungai Daun Daerah Yan. 
 
Projek besar lagi bersejarah ini akan dimulakan pembinaan pada Ogos tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2013 dan dijangkan beroperasi pada tahun 2014. Projek ini akan memberi pedapatan sebanyak RM400 juta kepada kerajaan negeri dan membuka peluang kerja kepada 3,500 penduduk tempatan.  

Lawatan ini bertujuan meninjau kawasan tapak pecah tanah yang akan disempurnakan oleh KDYMM Tuanku Sultan pada bulan Ogos ini. Turut sama dalam lawatan tersebut semua Ahli Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha  Kerajaan Negeri YB Dato’ Wira Rasli Basir, Pegawai Kewangan Negeri YB Dato’ Mohamad Puat Haji Ali, Pengerusi Eksekutif Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd Encik Md Nazri Ramli, Pegawai Daerah Yan Encik Fuzi Mahyudin, ketua-ketua jabatan dan penduduk sekitar Sungai Limau.      
 
Menurut Dato’ Seri Azizan, projek ini membuktikan kerajaan serius dalam memberi pembangunan kepada rakyat di sini. Ini berikutan pemindahan projek dari daratan ke laut kerana menyelamatkan tanah pertanian milik penduduk tempatan menjadi kontroversi tidak lama dulu.

“Ini bukan bermakna tanah-tanah milik penduduk di sini tidak laku  apabila tidak jadi diambil tetapi kerajaan mahu mengekalkan tanah pertanian sebagai sumber makanan,

“Tapak perasmian pecah tanah ini akan dibiarkan menjadi tempat lawatan pelancong yang datang ke sini untuk  melihat projek ini,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru penduduk tempatan mengambil peluang dengan menyediakan rumah-rumah sewa dan kedai makan disamping menjaga kebersihan serta landskap yang menarik sekitar rumah masing-masing.

“Kerajaan tidak akan ambil tanah rakyat tetapi akan mengawal pertumbuhan supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan membeli tanah-anah di sini untuk di bangunkan sebagai kawasan perumahan.

“Ini kawasan industri besar  dan diharap kerjasama penduduk di sini menyediakan suasana bertaraf dunia bagi melonjak nama Kedah di persada antarabangsa,” katanya.  

   

Halaman 3 daripada 9