Berita & Pengumuman

“ماي قدح - mykedah.org” ڤوست معلومت نڬري قدح - Pusat Maklumat Negeri Kedah

Berita & Pengumuman

YAN : Majlis Penerangan Isu Pencerobohan Nelayan Bot Siput Retak Seribu

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Khamis, 16 Julai 2009 09:03) Khamis, 16 Julai 2009 08:47

YAN (13-7-09) : Kelmarin telah berlangsung majlis penerangan oleh YB Dato' Amiruddin Hamzah (Exco Pertanian dan Industri Asas Tani) berkaitan isu pencerobohan nelayan bot siput retak seribu di persisiran pantai di Perairan Yan.
Operasi bot-bot siput serat seribu ini telah mengakibatkan pencemaran dan mengurangkan hidupan laut di persisiran pantai Perairan Yan. Fenomena ini telah menyebabkan nelayan-nelayan persisiran pantai mengalami kerugian kerana kekurangan hasil tangkapan.

Dato' Amiruddin memaklumkan, pihaknya telah mengambil langkah-langkah bagi menangani isu ini. Iaitu :-
  • mewajibkan semua pengusaha memasang VTU (vehicle tracking unit) pada bot-bot mereka bagi mengesan dan merekodkan setiap operasi bot-bot tersebut.
  • operasi bot pukat retak seribu hanya dibenarkan pada jarak 3 batu notika dari pantai dan 2 batu notika dari pulau-pulau.
  • tidak mengeluarkan lagi permit untuk pengusaha-pengusaha baru dan kebenaran hanya kepada pengusaha sedia ada.

"Sekiranya didapati mana-mana pengusaha yang melanggar salah satu dari ketetapan ini, pengusaha terbabit akan dikenakan kompaun maksima dan permitnya akan ditarik balik," katanya.

Turut hadir ke majlis ini ialah YB Ahli Parlimen Jerai, Pegawai Daerah Yan, Pegawai Khas MB (Kawasan), Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah, wakil-wakil jabatan terlibat, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung.


Baca Lagi: YAN : Majlis Penerangan Isu Pencerobohan Nelayan Bot Siput Retak Seribu

 

Program belia Kedah tiada kerjasama pusat - Dr Hamdan

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Isnin, 13 Julai 2009 12:47) Isnin, 13 Julai 2009 12:41

ALOR SETAR, 12 Julai (Hrkh) - Program belia, sukan dan kebudayaan serta kesenian yang mahu dibuat di Kedah tidak mendapat kerjasama dari kerajaan pusat selepas Pakatan Rakyat memerintah negeri ini.

Sedangkan ketika Umno/BN memerintah, kerjasama dibuat dengan pihak pusat menyediakan dana, event management dan di negeri hanya menerima sahaja'pakej program' yang diserah oleh pusat.

Demikian dedah, Exco Belia dan Sukan, Kesenian,Warisan dan Kebudayaan Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib dalam satu wawancara bersama Harakah di Pejabat Pusat Khidmatnya di Tanjong Dawai dekat sini baru-baru ini.

Ujar Dr Hamdan, semasa Umno/BN memerintah dahulu, pegawai-pegawai dan NGO belia memberi kerjasama untuk melaksanakan program dengan bantuan dana dari kerajaan pusat.

Namun, tiba-tiba selepas Pakatan Rakyat mengambilalih, bantuan disekat malah kerjasama juga dihentikan menyebabkan kesukaran dalam menjalankan program kerana masalah dana, ujarnya.

Dalam kepayahan itu ujarnya, jawatankuasa yang diterajuinya itu cuba menjalankan beberapa program selain merangka program pembangunan belia dengan kekurangan yang ada.

Ujarnya lagi, pihaknya kini merancang untuk membentuk urusetia yang akan menjadi wadah bagi merangka dan melaksanakan program pembangunan belia.

Beliau melihat, banyak program berbentuk pembinaan insan perlu diterapkan selain membudayakan masyarakat belia berilmu, dan ia menjadi agenda utama beliau dalam merangka program belia.

Beliau berazam dengan kudrat dan keterbatasan yang ada, program belia akan tetap diteruskan walaupun mungkin ada sedikit sebanyak kelemahannya nanti.

"Kita buat perlahan-lahan,apa yang penting saya tak mahu banyak bercakap tetapi kalau boleh mahu menjalankan tugas dengan kemampuan setakat yang ada ini untuk jawatankuasa saya ini," tegasnya.

Sementara itu beliau turut mengulas dakwaan bahawa kerajaan Kedah tidak mahu kepada program kebudayaan Islam seperti yang pernah diutarakan sebuah akhbar.

Ujar Dr Hamdan, pihak yang mendakwa itu sebenarnya mempunyai kepentingan peribadi apabila menghantar cadangan menguruskan satu program kebudayaan Islam dengan bajet yang tinggi.

Bukan niat pihaknya untuk menolak program yang ditawarkan itu kerana sememangnya kerajaan negeri mahu membudayakan kesenian dan kebudayaan Islam.

Sebaliknya isu itu disalah tafsir oleh penulis yang sebenarnya mempunyai kepentingan peribadi, dakwanya.

Menurut Dr Hamdan, pihaknya ada merancang festival lagu-lagu Islam antarabangsa untuk membudayakan kesenian Islam, selain banyak program berbentuk menyedarkan belia akan dibuat.

Beliau seterusnya meminta semua pihak agar tidak menuding jari, dalam masa yang sama kerajaan negeri akan mengatasi kelemahan yang ada. - mks. _

 

Wawancara dengan Pegawai Daerah Yan

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Isnin, 13 Julai 2009 09:45) Isnin, 13 Julai 2009 09:29

Wawancara Wartawan Warta Darul Aman, WADIASSOFI JAAFAR dengan Pegawai Daerah Yan, TUAN HAJI MOHD FUZI MOHAIDIN yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Yan.

Warta Darul Aman (WDA):  Bagaimana dengan projek penapisan minyak Hub Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) di Yan?
 
Haji Mohd Fauzi (DO): Majlis pecah tanah projek ini akan diadakan pada bulan Julai 2009 yang akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dan merupakan projek terbesar di negeri Kedah Darul Aman. Projek ini melibatkan penambakan laut seluas lapan kilometer persegi melibatkan dua syarikat iaitu Merapoh dan Hijjaz Sdn Bhd.

Pihak syarikat telah mengenal pasti teknologi yang akan digunakan untuk penambakan laut supaya tidak mengganggu eko-sistem yang sedia ada. Dari segi teknologi, kemungkinan besar akan menggunakan teknologi dari Korea untuk sistem penapisan minyak. Minyak mentah akan dibekalkan daripada negara Arab seperti Iran dan Kuwait.     

Baca Lagi: Wawancara dengan Pegawai Daerah Yan

   

Tulisan jawi sebagai symbol pembangunan negara

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Sabtu, 11 Julai 2009 09:57

ALOR SETAR: Usaha untuk menghidupkan kembali tulisan jawi akan diteruskan dalam usaha memelihara semula tulisan berkenaan sebagai satu simbol pembangunan di negeri ini.

Menurut Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Tuan Haji Mohd. Azmi Abdul Hamid, ini amat diperlukan kerana tulisan jawi adalah merupakan bentuk pembangunan yang perlu ditonjolkan.

“Kita merasakan bahawa Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah akan mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan semula tulisan jawi di peringkat sektor kerajaan dan swasta,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya ingin mendekati sektor awam untuk menghebahkan mengenai betapa pentingnya tulisan jawi yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya agar ia tidak luput ditelan zaman.

Urusan surat menyurat, katanya, perlu ditulis dalam tulisan jawi dan pihaknya juga sedang mencari jalan agar dapat menghasilkan bahan bercetak terutama buku dan majalah dalam tulisan jawi.

“Kita juga bercadang untuk mewujudkan Pusat Penerbitan Tulisan Jawi dalam usaha mengangkat semula tulisan berkenaan dan kita berharap Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dapat bekerjasama dengan pihak kita untuk mewujudkan pusat berkenaan,” ujarnya.

Tuan Haji Mohd. Azmi Abdul Hamid menjelaskan, sekiranya Pusat Penerbitan Tulisan Jawi itu tidak dapat diwujudkan di perpustakaan itu, pihaknya akan mencari tempat lain yang sesuai untuk tujuan itu.

Pihaknya juga akan cuba mendekati mahasiswa dan mahasiswi pusat pengajian tinggi untuk mempopularkan semula tulisan jawi.

“Kita ingin pergi lebih jauh lagi di peringkat perundangan melalui penggunaan tulisan jawi di setiap iklan-iklan dan kita akan berbincang dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan dan Majlis Perbandaran agar dapat menyemarakkan semula tulisan jawi,” ujarnya. 

 

Perjuangan memartabatkan tulisan jawi

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Selasa, 30 November 1999 08:00) Sabtu, 11 Julai 2009 09:52

ALOR SETAR: Terlalu banyak pandangan serta keluh kesah para pejuang tulisan jawi serta pejuang bahasa terhadap nasib malang yang menimpa tulisan ini dan malah terlalu banyak juga paparan dibuat dalam bentuk fenomena kegersangan masyarakat Melayu terhadap penggunaan tulisan jawi.

Namun begitu, memartabatkan tulisan jawi kepada orbit atau gelanggang sebenarnya juga adalah suatu perjuangan kemerdekaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, tulisan jawi mewakili kedua-dua warisan iaitu nyata dan tidak nyata di mana ia nyata apabila ia terukir pada batu bersurat dan prasasti.

“Ia juga warisan tidak nyata apabila ia mewariskan budaya Islam, bukti adanya keterikatan antara Islam dalam budaya harian Melayu dan sebagainya,” jelasnya.

Menurutnya, tulisan adalah simbol atau lambang kepada identiti bahasa di mana tulisan adalah perwakilan artikulasi bahasa semenjak manusia tahu bagaimana menyampaikan buah fikiran, menghurai perkara visual untuk difahami oleh orang lain.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Muktamar Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi (PERAWI) di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Jalan Kolam Air, di sini.

Program itu dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dengan kerjasama Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

Beliau menjelaskan, tulisan juga menjadi alat awal mengekalkan ingatan bermula dengan penulisan bilangan hari dan bulan dan lantaran itu, ia dikaitkan dengan bahasa sebagai teras atau satu entity manakala tulisan adalah penunjuk atau dalil wujudnya entiti tersebut.

“Tulisan jawi hendaklah dijadikan salah satu asas keperibadian bangsa dengan cara menetapkan taraf tulisan tersebut iaitu dengan mengadakan akta atau undang-undang khas tentang tulisan jawi,” ujarnya.

YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, memasukkan tulisan jawi ke dalam akta Bahasa Kebangsaan sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan adalah langkah berkesan dalam usaha memelihara dan mengangkat martabat tulisan berkenaan agar ianya tidak luput di telan zaman.

Dalam pada itu, katanya, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk meneliti dan mengkaji kelemahan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dalam system pendidikan masa kini.

“Ia diharap mampu membina jaringan institusi dan individu yang boleh mengangkat semula martabat tulisan jawi serta melaksanakan gerakerja advokasi kepada pihak kerajaan untuk menerima cadangan pemerkasaan tulisan jawi sebagai tulisan yang diarus perdanakan dalam semua sektor swasta dan awam.

Apa yang penting, katanya, ia secara tidak langsung berupaya melancarkan kempen kebangsaan ‘Celik Jawi’ sebagai wahana mempopularkan tulisan jawi di kalangan masyarakat serta menambah bilangan pendokong dan penyokong pemerkasaan tulisan jawi di kalangan golongan muda.

Turut hadir ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Tuan Haji Mohd. Azmi Abdul Hamid dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Ustaz Yusof Mahmud.

   

Halaman 2 daripada 9