Berita & Pengumuman

“ماي قدح - mykedah.org” ڤوست معلومت نڬري قدح - Pusat Maklumat Negeri Kedah

Berita & Pengumuman

Dua muka baru dalam barisan Exco

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Khamis, 11 Mac 2010 12:20) Ditulis oleh AMELIA HASHIM ( www.kedah.gov.my ) Khamis, 11 Mac 2010 12:17

ANAK BUKIT, 10 Mac:  Seramai sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah termasuk dua muka baru telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah di Istana Anak Bukit, hari ini.
 
Dua  muka baru yang dilantik ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Air Hitam YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah dan ADUN Kawasan Sidam YB Tan Joo Long @ Tan Chow Kang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan isteri, Yang Teramat Mulia (YTM)  Tunku Bendahara dan Tok Puan Bendahara, YTM Tunku Temenggong dan YTM Tunku Laksamana.

Ahli Exco yang baru dilantik ialah YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad yang memegang portfolio Penerangan dan Pembangunan Usahawan. Manakala YB Tan diberi portfolio Alam Sekitar dan Hal Ehwal Masyarakat Cina.

Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan sendiri kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi & Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan.
Lain-lain Ahli Exco dan portfolio adalah seperti berikut:

    * YB Dato’ Phahrolrazi Haji Zawawi menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan &
       Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan.

    * YB Dato’ Haji Mohamed Taulan Mat Rasul Pengerusi Jawatankuasa Agama,
       Pelajaran dan Koperasi.

    * YB Dato’ Ir Amiruddin Haji Hamzah Pengerusi Jawatankuasa Industri &
       Pelaburan Pertanian,  Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air,
       Sumber Air dan Tenaga.

    * YB Dr Hamdan Mohamed Khalib Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Kesenian
       &  Warisan, Kebudayaan.

    * YB Ustazah Siti Hajah Ashah Ghazali Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
       Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

    * YB Dr Ismail Salleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan
       Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat
       dan Komunikasi.

    * YB  Manikumar Subramaniam kekal dengan portfolio lamanya sebagai
       Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Hal Ehwal Masyarakat India dan
       Hal Ehwal Masyarakat Siam.

    * YB Lim Soo Nee Penegrusi Jawatankuasa Perdagangan dalam Negeri &
       Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan pengurusan Sumber Manusia.

Majlis angkat sumpah dan menandatangani surat sumpah disaksikan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar Dato’ Azman Husain dan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Dato’ Syeikh Uszir Baharom. 

 

Ulang Tahun Hari Keputeraan

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Isnin, 25 Januari 2010 14:33) Ditulis oleh fuadi Ahad, 17 Januari 2010 12:16

[2010-01-17_111349.jpg]

 

Henti segera polemik kalimah Allah: Mufti Kedah

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Khamis, 14 Januari 2010 14:04) Ditulis oleh fuadi Khamis, 14 Januari 2010 13:57

SHAH ALAM – Polemik isu ‘kalimah Allah’ harus dihentikan segera bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini kelak.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad (gambar) berkata, semua pihak perlu tampil dan berbuat sesuatu untuk menangani situasi ini.

Beliau berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan semua pihak berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain adalah langkah terbaik menghadkan isu itu daripada terus berpanjangan.

“Saya cukup bersetuju dengan titah baginda dan rakyat harus akur dengan titah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa kelmarin memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.

Katanya, Baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyifatkan hasrat Herald-The Catholic Weekly untuk tidak lagi menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, keputusan itu adalah tepat.

“Sepatutnya isu penggunaan kalimah Allah ini tidak wujud kerana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah bersetuju bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

“Jadi, tiada sebab untuk agama lain mahu menggunakan lafaz itu. Namun, keputusan editor majalah itu, Reverend Lawrence Andrew yang berkata, keputusan tidak menggunakan kalimah itu atas rasa tanggungjawab untuk menjamin keamanan negara sewajarnya dipuji,” katanya.
-  Sinarharian
   

LANDAS Langkawi kesal terhadap konsert LIMA Langkawi

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Isnin, 14 Disember 2009 10:31) Ditulis oleh fuadi Isnin, 14 Disember 2009 10:26

 
LANGKAWI - LANDAS Langkawi amat kesal terhadap mereka yang sering menganjurkan konsert di bumi Langkwi. Semenjak tahun lepas lebih kurang 6 konsert telah diadakan. Apabila diajukan soalan kepada EXCO yang bertanggungjawab ke atas PBT akan konsert tersebut, beliau mengatakan "saya tak dapat maklumat”.

Jawapan ini saya terima semenjak dari konsert pertama di adakan sebelum ini. Agaknya jawapan ini akan digunakan sampai bila-bila. Siapakah yang bertanggungjawab ke atas konset ini? Timbul persoalan di benak saya akan peranan Ahli Majlis Mesyuarat PBT dan MKK yang diamanahkan oleh kerajaan negeri. Apakah mereka hanya pelengkap korum mesyuarat atau hanya menunggu cukup bulan.

Setiap kali konsert dilangsungkan mereka akan mengatakan yang mereka tidak tahu dan tidak dimaklumkan. Maknanya mereka dipermainkan oleh pihak Pegawai Daerah. Pihak penganjur konsert juga buta hati dan buta perut di atas gejala sosial yang melanda umat Melayu Islam. Mereka bongkak, takabbur meninggi diri dengan kuasa sementara yang ada pada mereka.

Harap kerajaan negeri segera menyekat mereka yang tidak bertanggungjawab dari terus merosakkan anak Kedah dan Langkawi khususnya. Ingatlah bahawa sikap angkuh bukanlah sifat manusia tetapi sifat Allah SWT.

Ali bin Abdullah
Penyelaras LANDAS Langkawi
0194795687
 

Tahap kebersihan Alor Setar meningkat

PDFCetakemel

Terakhir dikemaskini (Rabu, 28 Oktober 2009 10:35) Rabu, 28 Oktober 2009 10:30


ALOR SETAR- Tahap kebersihan di bandar raya ini menampakkan perubahan apabila longgokan sampah di sini sudah pun mula dikutip oleh kontraktor pelupusan sisa pepejal, E-Idaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Pertanian Industri Asas Tani, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, walaupun E-Idaman belum mengambil alih kerja pungutan sampah secara rasmi namun hampir 50 peratus sampah sudah pun mula dikutip.

Menurutnya, sejak E-Idaman mula beroperasi, tahap kebersihan di bandar raya ini berada di tahap yang cukup memuaskan kerana E-Idaman menjalankan kerja pembersihan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Buat masa sekarang saya berasa amat selesa dan berpuas hati dengan kemajuan serta tahap kebersihan di bandar raya ini. Namun saya juga berasakan masih banyak lagi perkara yang perlu kita baiki agar tahap kebersihan di bandar raya ini menjadi bertambah baik,” katanya. 

:Ir Phahrolrazi berkata, penambahan dan pembaikan tong sampah di kawasan perumahan juga akan dibuat untuk mengurangkan longgokan sampah. 

Beliau berkata, bukan sahaja penambahan tong sampah akan dibuat malahan jadual pengurusan pekerja akan diperbaiki bagi menjadikan operasi berkesan. 

Selain itu, beliau berkata, setelah Alor Setar tidak lagi dibebani masalah longgokan sampah dan tahap kebersihan mencapai tahap yang paling memuaskan, kerja pembersihan longkang dan pemotongan rumput pula akan dilaksanakan. 

Menurutnya, kerja itu akan dilaksanakan setelah kerja pembersihan sampah mencapai ke tahap 70 peratus. 

Beliau menasihatkan warga bandar raya ini agar sentiasa menjaga kebersihan dengan membuang sampah ke dalam tong sampah mengikut cara yang betul dengan mengikat beg plastik tersebut dan tidak meletakkan sampah di luar tong.

Sumber: http://sinarharian.com.my
   

Halaman 1 daripada 15